BENCANA alam seperti banjir yang berlaku di Pantai Timur, Semenanjung Malaysia, melibatkan banyak kerugian harta benda.
Selepas hampir enam bulan kejadian berlaku dan mendapat bantuan yang diperlukan, tiba masanya mangsa mendapatkan semula data-data penting yang ada di dalam komputer serta gajet sama ada telah terendam dalam air, bersalut lumpur atau mungkin terdapat pelbagai kerosakan lain.
Bagaimanapun data bukan hanya rosak disebabkan banjir tetapi juga disebabkan virus atau masalah teknikal lain. Masalah timbul apabila terdapat banyak maklumat penting atau peribadi di dalam gajet berkenaan.
Bagi pengguna yang menghadapi kesulitan mendapatkan semula data dari cakera keras (hard disk), pen drive atau pelayan (server), mereka boleh membawa peralatan itu ke MyCyberSecurity Clinic di The Mines Resort City, Seri Kembangan, Selangor.
Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Industri CyberSecurity yang turut menguruskan MyCybersecurity Clinic, Izwadee Hamzah, berkata, jika manusia sakit, kita ke klinik dan jika gajet “sakit” atau tidak boleh mendapatkan data semula atas pelbagai sebab, gajet perlu dihantar ke “klinik pakar”.
“Jika di CyberSecurity terdapat Jabatan Forensik yang menjalankan tugas bagi agensi penguat kuasa, MyCyberSecurity Clinic pula ditubuhkan bagi memberikan perkhidmatan yang lebih kurang sama kepada mereka yang memerlukan dengan kos yang munasabah.
“MyCyberSecurity Clinic ditubuhkan atas alasan badan korporat atau orang perseorangan juga memerlukan khidmat sama seperti diberikan kepada badan penguat kuasa,” katanya semasa ditemui di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
MyCyberSecurity Clinic mempunyai outlet pertama yang beroperasi tahun lalu dan mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada badan korporat dan individu.
MyCyberSecurity Clinic, sebuah badan di bawah CyberSecurity yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berperanan memastikan kawalan terhadap perkhidmatan yang disahkan bagi menganalisis, memulih dan mengurus maklumat serta mempunyai kredibiliti dan dipercayai untuk menguruskan data dengan selamat.
“Outlet berkenaan mempunyai pakar dalam pemulihan data dan sanitasi, memainkan peranan penting dalam melindungi data selain menyediakan peluang untuk digunakan semula dengan selamat dan mengitar semula peralatan penyimpanan digital,” katanya.
Kepakaran
MyCyberSecurity Clinic menyediakan perkhidmatan bantuan bagi menyelesaikan isu berkaitan dengan perkhidmatan digital forensik dan ICT.
“Di sini kami menguruskan maklumat keselamatan berdasarkan piawaian ISO/IEC 27001,” katanya.
Izwadee berkata , terdapat kes di mana seorang jurugambar perkahwinan yang datang jauh dari Sarawak hanya untuk mendapatkan semula gambar pelanggannya yang hilang.
“Kami juga memulihkan data seorang ayah yang kehilangan gambar anak-anak yang sedang membesar dan disimpan dalam kad memori.
MyCyberSecurity Clinic juga menawarkan penyelesaian ICT bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk diagnostik PC, pemeriksaan perisian dan perkakasan, memasang semula perisian, pakar runcing dan laporan jenayah siber.
“CyberSecurity telah mendapatkan kerjasama pakar pemulihan data dan sanitasi global, Myung Information Technologies yang terletak di Korea Selatan.
“Peluang ini dilihat sebagai satu proses perpindahan kepakaran oleh Myung bukan saja kepada CyberSecurity tetapi juga rakyat Malaysia,” katanya.
Tujuan utama MyCyberSecurity Clinic adalah ke arah membangunkan pusat rujukan antarabangsa bagi kecemerlangan dalam bidang forensik digital dan perkhidmatan pemulihan data selain mengembangkan kemudahan bagi forensik digital dan perkhidmatan pemulihan data untuk orang awam.
Kelebihan pemulihan data
1. Penyelesaian pemulihan data.
2. Proses yang selamat dan standard.
3. Menyediakan anggaran kos.
4. Laporan kerosakan terperinci.
5. Agensi yang dipercayai dan dijamin kerajaan.
Komponen perkhidmatan
1. Menilai kerosakan dan potensi pemulihan.
2. Anggaran tugasan dan kos.
3. Kenal pasti imej data keselamatan data.
4. Kenal pasti kerosakan fizikal.
5. Kekalkan dan pulihkan data ke media yang dipilih.
6. Data dipastikan selamat.
Izwadee berkata, dalam masa setahun, MyCyberSecurity Clinic telah menguruskan lebih 100 kes sanitasi dan pemulihan data. Gaya hidup yang sering menukar gajet seperti telefon pintar atau tablet menyebabkan pengguna biasanya menjual gajet lama yang masih boleh digunakan.
Bagaimanapun adakah data peribadi yang telah dipadamkan benar-benar telah “bersih” atau sanitasi sebelum dijual. Biasanya data yang dipadam secara manual masih boleh dipulihkan dengan mudah menggunakan beberapa perisian tertentu.
Bagi mengatasi masalah ini, pengguna boleh membawa gajet mereka ke MyCyberSecurity Clinic bagi sanitasi cakera keras atau penyimpanan data bagi tujuan sanitasi.
Izwadee berkata, di MyCyberSecurity Clinic, data akan dibersihkan dan dipadamkan sepenuhnya bagi mengelakkan data peribadi seperti nombor akaun bank, nombor kad pengenalan atau gambar peribadi digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Kelebihan data Sanitasi
1. Memastikan keselamatan data dan mengurangkan risiko kebocoran data apabila gajet dijual dan digunakan oleh orang lain.
2. Memastikan penggunaan piawaian dan proses keselamatan sebelum membuang sebarang peralatan penyimpanan data.
3. Peluang mengguna dan mengitar semula gajet penyimpanan data sebagai menyokong kepada industri hijau.
4. MyCyberSecurity Clinic adalah entiti yang dipercayai dan mempunyai kredibiliti bagi menguruskan data dengan selamat.
Komponen perkhidmatan
1. Analisis preliminari gajet penyimpanan.
2. Menilai laporan dan memproses.
3. Proses sanitasi data.
4. Proses verifikasi.
View the original content and more from this author here: http://ift.tt/1AaXLiV
from cyber security caucus http://ift.tt/1AaXNqS
via IFTTT
No comments:
Post a Comment